
REMAJA lelaki terpaksa menahan seksa hampir sejam selepas lehernya tertusuk anak panah senapang ikan dalam kejadian di Sungai Iran, Song, di Kapit, malam tadi.
Mangsa berusia 18 tahun itu sebelum itu dikatakan pergi mencari ikan bersama dua rakannya di sungai berkenaan kira-kira 11 malam.
Ketika mangsa mahu melepaskan tembakan kepada sasaran, anak panah itu terkena kayu sebelum melantun dan menusuk lehernya.
Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Song ketika dihubungi berkata, pihaknya bergegas ke Klinik Kesihatan Daerah Song untuk membantu mengeluarkan anak panah terbabit.
“Mangsa dihantar ke klinik itu dan kami menerima panggilan kecemasan jam 11.29 malam.
“Enam anggota dikejarkan ke lokasi bagi menjalankan khidmat khas mengeluarkan anak panah yang tertusuk pada leher mangsa,” katanya.
Menurut jurucakap, sebaik tiba di klinik terbabit, pihaknya mendapati anak panah sepanjang 60 sentimeter tertusuk leher mangsa.
“Pihak kami mengambil masa kira-kira lima minit untuk mengeluarkan anak panah itu menggunakan ‘bolt cutter’.
“Nasib baik anak panah itu hanya tertusuk tepi leher mangsa dan tidak mendatangkan kecederaan teruk,” katanya.
Tambah jurucakap itu, mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak klinik untuk rawatan lanjut. - Harian Metro
0 ulasan:
Catat Ulasan