Catatan Yang Ditampilkan

BANTUAN SARA HIDUP FASA KETIGA AKAN DIBAYAR MULAI 28 OGOS

PUTRAJAYA: Pembayaran fasa ketiga Bantuan Sara Hidup (BSH) 2019 akan dilaksana mulai 28 Ogos ini membabitkan hampir 3.6 juta penerima deng...

Sabtu, 29 Jun 2019

522 Pengedar Dadah Di Sabah Berdepan Hukuman Penjara Seumur Hidup Atau Hukuman Mati


KOTA KINABALU: Seramai 522 pengedar dadah bakal berhadapan hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup serta sebatan selepas berjaya ditahan dalam beberapa siri tangkapan di negeri ini.
Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Zaini Jass berkata, jumlah terbabit antara 7,372 orang yang ditahan dalam pelbagai kesalahan dadah dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.
“Kesemua 522 pengedar dadah akan disiasat mengikut Seksyen 39B, 39A(2) dan 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Zaini berkata, jumlah tangkapan dadah tahun ini menunjukkan peningkatan berbanding tempoh sama pada tahun lalu iaitu hanya 6,233 pada 2018 berbanding 7,372 tahun ini.
“Statistik menunjukkan peningkatan sebanyak 1,139 bersamaan 18.27 peratus dan peningkatan tangkapan ini adalah seiring dengan komitmen Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) melaksanakan Ops Sarang dalam membanteras gejala dadah.
“Sepanjang tempoh sama juga kita mencatatkan sejumlah rampasan dadah dan syabu merekodkan rampasan paling banyak iaitu seberat 25,308 gram berbanding hanya 21,387.20 gram pada 2018 dengan peningkatan sebanyak 3,921.01 gram,” katanya.
Beliau juga merakamkan penghargaan kepada masyarakat yang selama ini menjadi mata dan telinga pihak polis dalam menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti dadah yang berlaku di sekeliling.
Share:

Mayat Masih Bertopi Kaledar Ditemui Terapung Di Sungai Tamparuli


TUARAN, 29 Jun – Mayat seorang lelaki dipercayai warga tempatan ditemui terapung di Kuala Sungai Tamparuli, dekat sini, semalam kata Ketua Polis Daerah Tuaran DSP Mohd Hamizi Halim.
Katanya, pihaknya menerima maklumat mengenai penemuan mayat tersebut, daripada orang awam kira-kira 10 pagi.
“Mayat yang lengkap berpakaian dan masih memakai topi kaledar ditemui terapung di sungai berkenaan berhampiran Kampung Bantayan disyaki sudah meninggal dunia sehari sebelum   ditemui.
“Punca kematian diklasifikasikan sebagai mati mengejut sehingga laporan bedah siasat diperolehi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
— BERNAMA
Share:

Jumaat, 28 Jun 2019

30 Julai cuti am tambahan sempena Hari Pertabalan Agong


PUTRAJAYA: Kerajaan mengisytiharkan 30 Julai depan sebagai hari kelepasan am tambahan bagi seluruh negara sempena Hari Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ismail Bakar, berkata pengisytiharan itu dibuat berdasarkan Seksyen 8 Akta Hari Kelepasan Am 1951 (Akta 369) bagi Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan.
“Bagi Sabah dan Sarawak, kerajaan negeri berkenaan diminta mengambil tindakan mengikut undang-undang negeri masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Share:

300 Hilang Tempat Tinggal Rumah Kongsi Terbakar Di Lahad Datu


LAHAD DATU: Seramai 300 penghuni dari 58 keluarga hilang tempat tinggal selepas tiga blok rumah kongsi didiami pekerja kilang papan musnah dalam kebakaran di Batu 10, Jalan Tungku, di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, kebakaran merebak terlalu pantas hingga menyebabkan penghuni tidak sempat menyelamatkan barangan masing-masing.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba dan Penyelamat Sabah, Agustavia Joe Guasi, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 10.19 pagi.
“Seramai 11 terdiri daripada pegawai dan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Lahad Datu respon ke tempat kejadian yang terletak 19 kilometer dari balai dengan menggunakan satu jentera bersama sebuah kenderaan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).
“Kebakaran membabitkan tiga blok rumah pekerja di kilang papan it, dengan 58 dari 72 unit kediaman musnah sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Katanya, kebakaran berjaya dikawal pada jam 11.02 pagi dan operasi tamat sepenuhnya pada jam 3.10 petang.
“Tiada kecederaan dan kematian mangsa dilaporkan dalam kebakaran ini. Api berjaya dikawal dan operasi ditamatkan selepas beberapa jam kemudian,” katanya.
Katanya, punca kebakaran dan nilai kerugian sebenar masih dalam siasatan.
Share:

17 Hari Tidak Pulang Rumah, Ibu Rayu Anak Gadisnya Pulang


IBU RAYU ANAK GADIS SEGERA PULANG SELEPAS 17 HARI KELUAR RUMAH
LAHAD DATU; 27 JUN 2019 – Seorang ibu tunggal merayu anak gadisnya yang menghilangkan diri sejak 17 hari lalu pulang ke rumah mereka di Kampung Sabah Baru Peringkat Dua Jalan Silabukan, Lahad Datu.
Elyna Umar, 35 tahun, berkata anak sulungnya Nur Annisyyah Abdullah, 16 tahun, keluar rumah pada 10 Jun lalu dengan hanya membawa telefon bimbit dan dokumen pengenalan diri.
Bercakap kepada pemberita RTM, beliau berkata,semasa kejadian 10 Jun itu, anaknya dipercayai meminta izin dengan neneknya untuk ke Bandar Lahad Datu menemuinya berikutan Elyna telah ke Bandar berkenaan sejak awal pagi.
Bagaimanapun, kelibat anaknya tidak pernah muncul dan pesanan yang dihantar menerusi ‘whatsapp’ beliau kepada anaknya hanya ‘seen’.
Menurut Elyna, kira-kira pada 15 Jun lepas, beliau ada menghubungi anaknya menerusi panggilan ‘whatsapp’ dan mendapati anaknya menangis teresak-esak sebelum mematikan panggilan berkenaan dan menutup telefon sehingga tidak dapat dihubungi.
Katanya, satu-satunya anak perempuannya itu hanya memberi pesanan kepada ibunya ‘umi, jangan risau saya ok juga, tuan rumah maklum jika tidak balik tidak apa’ semasa menjawab panggilan.
Usaha menghubungi putrinya itu gagal sehingga beliau terpaksa membuat laporan polis pagi tadi di Balai Polis Daerah Lahad Datu kira-kira pukul 9.43 pagi kerana khuatir akan keselamatan anaknya.
Ibu kepada empat anak itu berkata, Nur Anniyysah tidak bersekolah sejak 4 tahun lalu dan sejak kehilangannya, dia tidak dapat melelapkan mata kerana risau memikirkan keadaan anaknya itu.
Sehubungan itu, beliau merayu agar mereka yang mengenali dan ada maklumat tentang keberadaan anaknya untuk segera menghubunginya di talian 011-5166 2583.
Sumber : #BESTAWAUfm
Share:

Musa Bertanggungjawab Jika UMNO Sabah Terima Dana 1MDB


KOTA KINABALU: Bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman yang sebelum ini merupakan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah adalah individu yang tahu dan bertanggungjawab jika parti itu turut menerima wang daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, dakwaan kononnya beliau sendiri turut menerima wang 1MDB adalah satu pembohongan kerana Musa yang bertanggungjawab menguruskan UMNO Sabah pada waktu itu.
Tambahan pula, kata Mohd. Shafie, beliau adalah antara pemimpin Kabinet Persekutuan yang lantang mengkritik penyalahgunaan dana 1MDB sehingga menyebabkannya dilucutkan daripada jawatan berkenaan.
MUSA AMAN
“Jika wang itu diberikan kepada UMNO Sabah bagaimana saya boleh menolak? Saya bukan pengerusi perhubungan, dia adalah Musa Aman.
“Malah saya ialah salah seorang menteri Kabinet yang bercakap menentang penyalahgunaan dana 1MDB pada masa itu,” katanya ketika menjawab kenyataan Presiden Gerakan, Dominic Lau yang meminta Mohd. Shafie dan bekas pemimpin UMNO memulangkan wang yang berkaitan 1MDB.
Baru-baru ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyaman 41 individu dan entiti bagi melucutkan hak ke atas pelbagai harta dan wang yang dipercayai berkaitan dengan 1MDB.
Semasa isu penyelewengan 1MDB mula didedahkan kepada umum pada 2013, Mohd. Shafie adalah Naib Presiden UMNO, namun beliau tidak pernah berdiam diri sebaliknya lantang mengkritik Presiden UMNO ketika itu, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi memperbetulkan keadaan.
Kelantangannya bagaimanapun terpaksa dibayar dengan harga tinggi apabila beliau yang menjawat Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah pada masa itu dikeluarkan daripada barisan Kabinet dan turut digantung keahlian UMNO tidak lama kemudian.
Tambah Mohd. Shafie, jika sekali pun wang 1MDB diagih-agihkan kepada UMNO bahagian pada waktu itu, keputusan tersebut dibuat oleh ahli jawatankuasa negeri.
“Saya tidak boleh cakap saya tolak kerana itu keputusan ahli jawatankuasa parti masa itu. Tetapi untuk mengatakan saya dapat dan terima duit 1MDB adalah satu pembohongan.
“Jika itu kebenarannya, kenapa saya bercakap lantang menentangnya sehingga akhirnya saya dikeluarkan daripada Kabinet Persekutuan?,” kata Mohd. Shafie.
Share:

‘Kepala, Mata Mangsa Bengkak, Sakit Dada Serta Muntah Darah’ – Dua Suspek Belasah Remaja Diberkas Polis


Polis memberkas dua lelaki bagi membantu siasatan berhubung kes pukul seorang remaja susulan video tular di media sosial yang berlaku di sebuah taman permainan di Taman Setia Indah di sini.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, kedua-dua remaja berusia 16 tahun itu diberkas pada pukul 7.40 malam di sebuah rumah di Jalan Jaya Putra 8/4, Taman Daya di sini.
Menurutnya, tangkapan dilakukan setelah pengadu iaitu mangsa tampil membuat laporan selepas mengalami kecederaan bengkak pada kepala, mata, dan sakit dada serta muntah darah.
“Sebelum kejadian, mangsa berada di sebuah bengkel di  Jalan Setia 7, Taman Setia Indah, telah terima panggilan daripada kawannya  meminta mangsa datang ke kawasan Taman Permainan di Taman Setia Indah.
“Setelah sampai di lokasi pada pukul 3.30 petang berlaku pertengkaran mulut antara pengadu dengan kawan-kawannya sebelum mangsa dipukul dua suspek terbabit,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Difahamkan, punca kejadian akibat ejek mengejek yang membawa kepada pergaduhan di antara kedua-dua pihak.
Shahurinain berkata, kedua-dua suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 323 dan 506 Kanun Keseksaan.
Sumber: K! ONLINE TheReporter
Share:

Khamis, 27 Jun 2019

Guru, pelajar dirotan akhirnya berdamai


JOHOR BAHRU - Pertemuan antara keluarga pelajar dan guru yang terbabit dalam kejadian merotan di sebuah sekolah dalam bandar raya ini baru-baru ini berjalan dengan damai dengan kedua-duanya berlapang dada.


Exco Pendidikan negeri, Aminolhuda Hassan berkata, pertemuan antara kedua-dua pihak itu berlangsung di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Johor Bahru kira-kira jam 2.30 petang tadi.

Beliau berkata, kedua-dua pihak juga turut mengambil kesempatan memohon maaf antara satu sama lain selain mengakui kesilapan yang dilakukan.


“Pertemuan berjalan dengan lancar dengan kedua-dua pihak memohon maaf. Pihak pelajar juga telah menarik balik laporan polis semalam,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Aminolhuda berkata, pendekatan perbincangan dan permuafakatan antara pihak-pihak terlibat juga telah dilaksanakan di peringkat sekolah dan PPD Johor Bahru bagi menangani insiden secara holistik.

“Bagi memastikan penyelesaian dibuat lebih adil, jabatan tidak seharusnya mengetepikan peraturan sedia ada yang berkuat kuasa di samping mengambil kira aspek kebajikan kedua-dua pihak guru dan murid.

“Jabatan memandang serius insiden ini kerana melibatkan kredibiliti profesion perguruan dan proses kemenjadian murid itu sendiri sebagaimana hasrat yang digariskan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM),” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, kerajaan negeri bersama Jabatan Pendidikan Johor menyeru agar semua sekolah dan warga pendidik di negeri ini sentiasa memahami peraturan sedia ada agar dapat mengawal tindakan menangani disiplin murid secara tidak beremosi.

“Terima kasih diucapkan kepada PPD Johor Bahru dan pihak sekolah kerana cepat mengambil tindakan dengan mengadakan sesi permuafakatan antara yang terlibat yang membawa kepada penarikan balik laporan polis dibuat oleh ibu pelajar.

“Pihak sekolah juga diingatkan agar memastikan kejadian seumpama ini tidak akan berulang semula. Persefahaman berkaitan isu ini yang melibatkan kedua belah pihak telah dapat dijalankan dengan harmoni,” katanya.

Terdahulu, tular satu rakaman video berdurasi dua minit 28 saat menunjukkan seorang wanita meminta penjelasan daripada seorang guru lelaki berikutan anak perempuannya dirotan.

Dalam rakaman itu guru berkenaan dilihat memberi penjelasan mengenai tindakannya merotan pelajar terbabit, namun dipertikaikan ibu berkenaan sambil menunjukkan kesan rotan pada tubuh anaknya.
Share:

Polis Buru Suspek Rompak Kedai Kek Guna Parang Di Penampang Bypass


Suspek rompak kedai kek guna parang diburu
PENAMPANG: Polis meminta kerjasama orang ramai untuk mengesan suspek utama kes rompak sebuah kedai kek di Villa Tropikana, Jalan Penampang Bypass, di sini, Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim, berkata hasil siasatan dijalankan, pihaknya berjaya mendapatkan lakaran wajah suspek berdasarkan keterangan mangsa dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV).
Beliau berkata, dalam kejadian jam 9 malam, suspek yang bertindak agresif sendirian masuk ke kedai kek itu dengan membawa sebilah parang untuk menakutkan pekerja di premis terbabit.
“Suspek yang memakai helmet berwarna kuning kemudian mengambil mesin tunai sebelum melarikan diri dengan menunggang motosikal.
“Tiada sebarang kecederaan pekerja premis itu dilaporkan. Kejadian membabitkan kerugian wang tunai sebanyak RM300 dan mesin tunai bernilai RM3,000,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
Mohd Haris berkata, polis percaya suspek sama terbabit dalam dua lagi kes yang dilaporkan berlaku di Bundusan dan Donggongon sebelum ini.
Beliau berkata, ia berdasarkan modus operandi jenayah dilakukan dan keadaan fizikal suspek yang diperoleh hasil siasatan polis.
“Orang ramai yang ada maklumat mengenai kes ini atau suspek boleh menyalurkannya kepada polis dengan menghubungi Inspektor Mohamad Hafiz Yaacob melalui talian 013-4046617.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan kerana merompak bersenjata yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan,” katanya.
Share:

Pensyarah UUM bina sistem pengimbas wajah kesan kehadiran pelajar


SINTOK: Seorang pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM) sedang membina sistem pengimbas wajah bagi mengesan kehadiran harian pelajar ke kelas.
Pensyarah Pusat Pengajian Pengkomputeran (SOC), Dr Noradila Nordin, membangunkan projek Smart Attendance System sejak September lalu bersama pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains (Teknologi Maklumat) UUM, Nurul Husna Mohd Fauzi, 25.
Noradila berkata, sistem itu menggunakan teknik pengecaman wajah setiap kali pelajar memasuki kelas tanpa perlu lagi menggunakan kertas untuk menandakan kehadiran.
Beliau berkata, kaedah itu bukan saja dapat mengelak berlakunya penipuan kehadiran, malah secara tidak langsung membantu menjimatkan penggunaan kertas dan menjaga alam sekitar.
“Sistem ini masih dalam pembinaan. Diharapkan sistem ini dapat diguna pakai dalam masa terdekat memandangkan kaedah pengecaman wajah boleh memudahkan pengesanan kehadiran pelajar ke kelas.
“Bukan mudah untuk kita membangunkan prototaip sistem ini kerana ia membabitkan pengecaman wajah ramai pelajar,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Noradila berkata, sistem itu akan membolehkan pensyarah melihat atau mengesan kehadiran pelajar dengan menggunakan aplikasi berasaskan web.
Beliau berkata, pelajar juga boleh menggunakan telefon pintar untuk mengesan lokasi dan masa mereka berada serta menggunakan kamera telefon bagi merakam wajah.
“Gambar wajah pelajar akan diguna untuk dipadankan dengan foto dalam pangkalan data.
“Jika gambar yang serupa ditemui, pelajar berkenaan akan ditandakan sebagai hadir ke kelas,” katanya.
Bagaimanapun, Noradila berkata, projek itu masih pada peringkat awal dan berharap lebih ramai pelajar dalam pengajian ijazah sarjana dan kedoktoran dapat membantu mengembangkan penyelidikan berhubung sistem terbabit.
Share:

Apple Dilaporkan Perlu Membayar Penalti Kepada Samsung Kerana Jualan iPhone Yang Rendah


Samsung ialah pengeluar peranti nombor satu dunia di hadapan Huawei dan Apple tahun lalu. Berita buruk bagi Apple ialah jualan iPhone tahun lalu menunjukkan penurunan berbanding tahun 2017. Tetapi nampaknya jualan iPhone yang lebih rendah dari sasaran ini akan mengakibatkan mereka terpaksa membayar penalti kepada Samsung.Menurut laporan ETNews, Apple perlu membayar penalti kerana gagal melakukan pesanan minima untuk skrin OLED bagi peranti iPhone. Apple memesan panel OLED dari Samsung tetapi meminta kilang eksklusif untuk skrin iPhone. Tetapi memandangkan jualan iPhone dengan skrin OLED yang lebih rendah dari sasaran, pesanan minima skrin yang dipersetujui dengan Samsung gagal dicapai. Apple perlu membayar beberapa ratus bilion Won kepada Samsung sebagai penalti. Angka pampasan mungkin mencecah $170 juta (~RM 705 juta).
SUMBER RUJUKAN: ETNEWS

Share:

Kakak Maut Ketika Menjolok Mangga Ingin Tunaikan Permintaan Adik Mengidam

Image result for pokok mangga kampung
Image result for tiang elektrik
Ajal ketika tunaikan permintaan adik
Demi mahu menunaikan permintaan adik yang sedang mengandung mengidamkan mangga, seorang wanita maut selepas terkena renjatan elektrik ketika mengambil buah itu dalam kejadian di kebun miliknya di Kampung Terusan, Lahad Datu, semalam.
Dalam kejadian 10 pagi, mangsa, Sarimah Dalam, 58, melecur 90 peratus selepas sabit buah yang digunakan diperbuat daripada logam tersangkut pada wayar elektrik.
Menurut anak mangsa, Stellah Tajuid, 36, ketika kejadian, ibunya dikatakan mahu mengambil buah mangga itu untuk ibu saudaranya yang sedang mengandung.
“Dia mahu kait untuk adiknya yang mengidam mangga muda. Dia guna sabit kelapa sawit namun secara tidak sengaja, terkait pada wayar elektrik menyebabkannya terkena renjatan elektrik,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Stellah berkata, dia yang baru tiba dari Pulau Pinang terkejut sebaik menerima berita itu sebelum bergegas pulang dengan mengambil penerbangan ke Kota Kinabalu.
“Saya hanya tiba di kampung jam 5 pagi tadi dengan menaiki bas dari Kota Kinabalu ke Lahad Datu namun arwah ibu sudah dikebumikan semalam kerana keadaan jenazahnya yang kurang sempurna.
“Saya cuma kesal tidak dapat berjumpa dengannya kerana sudah empat tahun tidak pulang ke kampung dan arwah ada menyatakan hasrat mahu datang ke Pulau Pinang untuk menjenguk saya pada Aidiladha nanti,” katanya.
Katanya lagi, kali terakhir bercakap dengan arwah ibunya pada dua hari lalu dan beliau tidak menunjukkan sebarang tanda mahu meninggalkan mereka.
“Biasanya kami akan membuat panggilan telefon dan video untuk melepas rindu pada cucunya. Tetapi tidak pula dia menunjukkan tanda mahu pergi selamanya.
“Tetapi kami sudah reda dengan kehilangannya itu,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, mangsa yang terkena renjatan elektrik rebah dan segera dibawa ke Hospital Lahad Datu sebelum disahkan meninggal dunia akibat melecur.
“Mangsa cedera di seluruh badan dan melecur 90 peratus akibat renjatan elektrik. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.
Share:

KPDNHEP Sabah Serbu Dan Rampas Dakwat Tiruan Bernilai RM800,000


PENAMPANG – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sabah merampas dakwat tiruan bernilai RM800,000 dalam serbuan di sebuah premis di Jalan Bundusan Penampang, hari ini.
Timbalan Pengarah KPDNHEP Sabah Ravichandran Vadivellu berkata tiga wanita dan dua lelaki berusia antara 20 hingga 50 tahun turut ditahan dalam serbuan di premis yang dijadikan tempat penyimpanan barang tiruan tersebut.
Katanya serbuan dilakukan pada jam 4 petang berdasarkan aduan diterima daripada pihak yang menjadi wakil sah Samsung, HP dan Canon.
Rampasan dilakukan di bawah Akta Perihal Dagangan 2013, katanya dalam satu kenyataan di sini.
Dalam pada, Ravichandran berkata kementeriannya telah membuat 40,800 pemeriksaan di seluruh negeri ini dan mengesan 974 kes pelbagai akta sejak Januari lepas hingga semalam.
Katanya ia membabitkan nilai rampasan sebanyak RM2.4 juta dan nilai kompaun sebanyak RM235, 530.
— BERNAMA
Share:

Song Joong Ki Failkan Penceraian Dengan Isteri, Song Hye Kyo

song joong ki failkan penceraian dengan isteri, song hye kyo
Pelakon drama Descendants of the Sun, Song Hye Kyo akhirnya membuat pengumuman melalui agensinya bahawa dia sudahpun memfailkan penceraian bersama pasangannya, Song Hye Kyo.
Pada 27 Jun, peguam Song Joong Ki, Park Jae Hyun secara rasmi mengumumkan, "Firma undang-undang kami memfailkan perceraian bagi pihak Song Joong Ki di Mahkamah Keluarga Seoul pada 26 Jun. Selain itu, kami ingin menyampaikan kenyataan rasmi Song Joong Ki."
Dalam kenyataannya, Song Joong Ki meminta maaf kepada peminatnya dan menjelaskan bahawa dia berharap untuk perceraian yang baik.
song joong ki failkan penceraian dengan isteri, song hye kyo
Kenyataan penuh adalah seperti berikut:
“Hello. Ini adalah Song Joong Ki.
Pertama, saya ingin minta maaf kerana menyampaikan berita ini kepada semua peminat saya.
Saya telah memulakan proses pemfailan perceraian dari Song Hye Kyo.
Daripada mengecam satu sama lain dan membantah siapa yang harus dipersalahkan, saya berharap proses perceraian dapat dilakukan dengan baik.
Saya meminta anda faham bahawa adalah sukar untuk saya menceritakan tentang hal peribadi saya, dan akan kembali dalam bidang lakonan lagi dimana hadapan.
Terima kasih.”
Untuk rekod, pasangan ini telah berkahwin pada Oktober 2017.
Sumber: Soompi
Share:

Polis Tahan Pelawak Terkenal


KUALA LUMPUR: Polis menahan pelawak terkenal tanah air bersama dua rakannya selepas terbabit dalam kes pergaduhan di sebuah hotel di Kuala Lumpur.
Pelawak berusia 40-an itu turut diarah menjalani ujian air kencing susulan penemuan paket berisi dadah dari salah seorang suspek wanita ditahan yang juga kenalan pelawak terbabit.
Sumber polis berkata, pelawak terbabit diberkas sekitar jam 6 petang kelmarin di sebuah hotel di Taman Maluri, Cheras.
Menurutnya, polis sebelum itu menerima laporan berhubung kes pergaduhan di dalam hotel itu sebelum bergegas ke lokasi.
Pihak polis kemudian menahan pelawak senior terbabit bersama seorang lelaki dan seorang wanita berusia sekitar 30-an di lobi hotel itu.
Siasatan mendapati pelawak terbabit mempunyai empat rekod jenayah membabitkan dadah selain dikehendaki polis berhubung kes di Hulu Klang, Selangor.
Share:

Seluar Tersangkut, Kanak-Kanak Maut Terjatuh Dari Eskalator


INDIA: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun maut akibat terjatuh dari ketinggian 50 kaki selepas seluarnya tersangkut pada susur eskalator. 
Kejadian itu berlaku pada jam 6.15 petang, 22 Jun lalu di Nucleas Mall, Ranchi, India. 
Video rakaman kamera litar tertutup (CCTV menunjukkan, mangsa terdahulu bermain berhampiran eskalator itu sebelum seluarnya tersangkut pada susur tangan eskalator.
Mangsa cuba menarik seluarnya tetapi tidak berjaya lalu cuba berpaut pada susur tangan itu menyebabkan badannya tertarik sama ke bahagian luar eskalator.
Mangsa sedaya upaya cuba bertahan dengan berpaut pada susur tangan, malangnya gagal berbuat demikian lalu terjatuh ke tingkat bawah.
Mangsa mengalami kecederaan dan dilaporkan maut serta-merta di tempat kejadian. 
Saksi kejadian berkata, mangsa terdahulu menggosok badannya di susur tangan eskalator. 
Dalam peraturan yang ditetapkan oleh Kerajaan India, pihak pengurusan pusat beli-belah diwajibkan memasang jaring keselamatan berhampiran eskalator bagi mengelakkan kejadian seumpama itu berlaku. 
Sumber: Daily Mail
Share:

Polis Tahan Dua Lelaki Dan Seorang Wanita Percayai Pengedar Dadah Di Semporna


WANITA ANTARA TIGA PENGEDAR DADAH DITAHAN DI SEMPORNA
SEMPORNA: 26 JUN 2019 – Wanita antara tiga pengedar dadah ditahan sepasukan polis Ibu Pejabat Polis Daerah Semporna dalam Operasi Sarang Bersepadu selama seminggu sejak rabu hingga ahad lepas di kawasan Hotspot, sekitar daerah ini.
Ketua Polis Daerah Semporna, Supritendan Sabarudin Rahmat dalam kenyataan berkata, kesemua mereka ditahan dalam operasi di Kampung Bangau-Bangau dan Kampung Batu.
Beliau berkata, hasil tangkapan ke atas wanita berkenaan, polis berjaya merampas 31 gram syabu bernilai 4-ribu 650-ringgit manakala 5.20 gram syabu bernilai 7-ratus 60-ringgit dirampas dari dua lelaki terbabit.
Menurut Supritendan Sabarudin, secara anggaran, jumlah dadah yang dirampas itu mampu menampung bekalan kira-kira 500 penagih.
Kes masing-masing disiasat dibawah Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 39A(1) dan Seksyen 12(2) Akta yang sama.
Jelasnya, lapan penagih turut ditahan dalam operasi itu dan lima penagih telah diserahkan kepada Jabatan Imigresen kerana tidal mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.
Sumber : #BESTAWAUfm
Share:

Jual Tubuh: Vanessa Angel Dijatuhi Hukuman Penjara 5 Bulan


INDONESIA: Artis Indonesia, Vanessa Angel dijatuhkan hukuman penjara lima bulan selepas didapati bersalah terlibat dalam kes pelacuran atas talian membabitkan bayaran sehingga Rp80 juta (kira-kira RM24 ribu) untuk sekali layanan.
Hukuman itu dibacakan Ketua Majelis Hakim Surabaya, Dwi Purwadi pada persidangan di Pengadilan Negeri Surabaya, petang ini, memetik laporan agensi berita Antara.
Vanessa, 27, dijadual dibebaskan hujung bulan ini kerana hukuman penjara itu berkuat kuasa dari tarikh dia ditahan pada 31 Jan lepas.
Vanessa ditahan di Surabaya selepas pihak polis mengesan berlakunya transaksi pembayaran untuk aktiviti itu.
Bernama
Share:

Projek Hidro Telekosang Bakal Merubah Daerah Kecil Kemabong


TENOM: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemabong Jamawi Jaafar yakin dengan terlaksananya projek mega seperti Hidro Telekosang di daerah Kecil Kemabong, ia mampu merubah landskap pembangunan daerah itu sekali gus merancakkan pertumbuhan ekonomi masyarakat setempat.
Beliau berkata projek yang bernilai RM450 juta itu akan dilaksanakan tidak lama lagi di mana selain dapat merancakkan pertumbuhan ekonomi setempat ia juga dapat meningkatkan kemudahan asas khususnya bekalan elektrik di negeri ini, khususnya di daerah kecil Kemabong.
Di samping itu, tambah beliau, ia akan membuka peluang pekerjaan kepada penduduk setempat khususnya golongan belia di daerah ini dan Kemabong.
“Saya telah meminta kontraktor utama projek ini agar memberikan peluang kepada golongan belia khususnya dari daerah ini untuk diambil bekerja dalam syarikat mereka,” katanya ketika ditemui selepas menerima kunjungan hormat dan taklimat daripada kontraktor Powerchina.Ca di pejabat Pusat Khidmat Adun Kemabong di sini pada Selasa.
Dalam perkembangan sama, beliau turut meminta kontraktor induk yang melaksanakan projek itu agar memberikan ruang dan peluang kepada kontraktor kecil tempatan untuk sub kontraktor bagi kerja kecil.
“Saya berharap kontraktor kecil tempatan yang berdaftar di Kemabong dan Tenom diberikan keutamaan,” katanya.
Jelas beliau, kontraktor pelaksana juga akan mengadakan sesi taklimat bersama pemimpin masyarakat di daerah kecil Kemabong yang akan diadakan di Dewan Sri Antoros bagi memberikan kefahaman kepada masyarakat tentang perjalanan dan keselamatan projek itu nanti.
Share:

Rabu, 26 Jun 2019

PPM Tahan Lelaki Pala’u Guna Bom Ikan


Semporna: Pasukan Polis Marin (PPM) menahan seorang lelaki Pala’u kerana disyaki memiliki peralatan dan bahan letupan di kawasan perairan Tanjung Pantau-pantau, Pulau Bum-Bum dekat sini semalam.
Dalam kejadian 12 tengahari itu, perahu yang dikendalikan suspek berumur 45 tahun yang dipercayai etnik Pala’u itu dikesan dalam keadaan mencurigakan oleh sepasukan anggota Unit Risikan Marin (URM) di kawasan berkenaan.
Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali, berkata pemeriksaan dalam ruangan perahu terbabit menemui beberapa peralatan antaranya bahan peledak (detonator), baja ammonia dan botol kaca yang dipercayai digunakan untuk membuat bahan letupan.
Beliau berkata, siasatan awal juga mendapati suspek mengaku memiliki kemahiran dalam membuat bahan letupan untuk digunakan dalam kegiatan dan aktiviti menangkap ikan.
“Suspek kemudiannya ditangkap bersama barang rampasan termasuk perahu dan satu unit enjin pam dianggarkan berjumlah RM6,563 dibawa ke pangkalan Markas Operasi PPM Semporna untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 iaitu kesalahan membuat, memiliki bawah jagaannya bahan letupan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih dari tujuh tahun atau denda tidak lebih dari RM10,000 atau kedua-duanya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai terutamanya komuniti nelayan supaya menyalurkan maklumat atau melaporkan sebarang kegiatan menangkap ikan menggunakan bahan letupan kerana aktiviti itu bukan saja melanggar undang-undang malah memusnahkan hidupan dan ekosistem di laut.
Share:

Bapa Hempas Anak Sampai Mati


JAKARTA: Hanya disebabkan RP1.8 juta (RM528), seorang bapa berusia 28 tahun sanggup melempar anaknya yang baru berusia dua tahun ke lantai selepas mengetahui isterinya berhutang dengan jiran mereka di Kampung Kalimaro, Kecamatan Kedungjati, Kabupaten Grobogan, Jawa Tengah.
Kompas melaporkan, Aripin yang juga dikenali dengan sikap panas barannya, mengaku kepada polis bahawa dia membunuh anaknya yang hanya dikenali sebagai ZT kerana berang dengan perbuatan isterinya Nofiyanti, 26, yang mempunyai banyak hutang dengan jirannya, Lasmanah, 48.
Polis berkata, suspek dan isterinya berjumpa dengan jirannya untuk menyelesaikan hutang selepas mendapat wang dari bapa mertuanya, Doto.
Tetapi suspek menjadi berang apabila jumlah hutang itu dilaporkan terlampau banyak sehingga mengugut mahu membunuh Lasmanah, isteri dan anaknya.
“Suspek melempar mangsa ke lantai ketika di rumah jirannya itu menyebabkan bayinya tidak sedarkan diri.
“Jiran yang berdekatan di tempat kejadian segera membawa mangsa ke Hospital RS PKU Muhamadiyah tetapi disahkan maut akibat cedera parah di kepala.
“Suspek tidak dapat mengawal emosinya sehingga membunuh anaknya sendiri malah disahkan tidak menghidap sakit mental dan kini dalam tahanan polis,” kata Polis Daerah Grobogan, AKP Agus Supriyadi Siswanto.
Sementara itu, Aripin mengaku menyesal dengan perbuatannya.
“Fikiran saya gelap selepas mengetahui isteri berhutang sebanyak itu. Saya tidak pernah menyuruh dia meminjam wang dari jiran.
“Tindakan saya melempar anak adalah spontan dan berharap tiada apa-apa terjadi padanya tetapi kini saya sungguh menyesal,” katanya. – Agensi
Share:

62 Orang Termasuk PTI Ditahan Dalam Operasi Cegah Jenayah Di Sandakan


Seramai 62 orang termasuk tujuh wanita ditahan dalam operasi pencegahan jenayah di tiga lokasi di sekita Daerah Sandakan di sini, semalam.
Kesemua mereka yang berusia antara 19 hingga 50 tahun ditahan di sekitar pusat bandar, Batu 8 dan Batu Sapi, di sini menerusi operasi yang bermula awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin, berkata operasi yang dilaksanakan secara agresif itu dikoordinasikan oleh Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (BPJKK) dengan beberapa bahagian lain daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan.
Selain pencegahan jenayah, katanya, operasi itu bertujuan membasmi masalah pendatang asing tanpa izin (PATI) dan penyalahgunaan dadah.
“Semua yang ditahan dibawa ke Balai Polis Sandakan untuk proses dokumentasi, tapisan jenayah dan dadah.
“Operasi ini antara langkah proaktif dan berterusan pihak polis dalam mengekalkan keamanan dan keselamatan penduduk daerah ini,” katanya di sini, hari ini.
Share:

Ibu Tinggalkan Anak 3 Jam Dalam Kereta Untuk Pergi Hadiri Konsert


Seorang kanak-kanak lelaki berusia lingkungan 3 tahun diselamatkan pihak berkuasa selepas ditinggalkan dalam kereta, sementaranya ibunya pergi menghadiri konsert. 
Orang awam kemudian memaklumkan kepada pihak polis di Shandong, China, pada jam 8.20 malam Jumaat lalu selepas menyedari mangsa menangis kerana kepanasan dan suhu ketika itu, 32′ celsius. 
Ibunya gagal dikesan dan polis terpaksa meminta bantuan seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun memanjat masuk ke dalam kereta melalui ‘sunroof’ yang dibiarkan terbuka, untuk menyelamatkan bayi berkenaan. 
Selepas pintu dibuka, polis mendapati baju mangsa basah disebabkan peluh akibat kepanasan dan mungkin mengalami dehidrasi. 
“Cuaca memang panas. Mangsa menangis kuat dan bibirnya kebiruan,” kata anggota polis. Mereka segera memberi mangsa minum dan menenangkan dia dengan beberapa barang mainan. 
Polis cuba menghubungi ibu kanak-kanak itu tetapi tidak dijawab. Orang ramai kemudian menyebarkan gambar kanak-kanak itu di media sosial dengan harapan dapat mengesan ibunya. 
Selepas satu jam kemudian, si ibu akhirnya muncul di tempat letak kereta itu untuk mendapatkan anaknya pada jam 9.30 malam. 
Menurut si ibu, dia pergi menghadiri konsert di stadium dan terpaksa meninggalkan anaknya dalam kereta kerana program itu tidak membenarkan kanak-kanak dibawa masuk. 
Polis percaya wanita itu pergi menghadiri konsert pada jam 7 malam, meninggalkan anaknya dalam kereta kira-kira tiga jam. 
Polis kemudian memberi amaran kepada si ibu agar tidak meninggalkan anaknya dalam kereta terutamanya pada musim cuaca panas. 
Sumber: Daily Mail
Share:

BTemplates.com

Arkib Blog

BahNews - Aduan Orang Kita. Dikuasakan oleh Blogger.

Blog Archive