
KUALA LUMPUR: Lelaki warga Nigeria dan isterinya warga tempatan yang memperdaya seorang jururawat melalui aktiviti ‘parcel scam’ masing-masing didenda RM4,500 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Majistret Mohamad Aizat Abdul Rahim menjatuhkan hukuman denda itu masing-masing terhadap Rustina Egong, 41 dan suaminya, Chigozir Kingsley, 33, selepas mereka mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan.
Mahkamah turut menetapkan hukuman penjara lima bulan jika kedua-dua mereka gagal membayar denda.
Pasangan yang bekerja sendiri itu didakwa bersubahat perdaya Ummi Umairah sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang berjumlah RM1,550, di Pangsapuri Puteri Satu, Taman Puteri, di sini, kira-kira jam 2.35 petang, 1 Julai lalu.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 120B (2) kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum enam bulan, atau denda atau kedua-duanya.
Terdahulu, pendakwaan dilakukan Nur Fatin Mohamad Farid yang meminta mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dan mengambil kira kepentingan awam.
Sementara itu, kedua-dua tertuduh diwakili peguam Muhammad Afif Che Had memohon mahkamah menjatuhkan hukuman denda paling ringan.
Pada 6 Julai lalu, pasangan itu ditahan sepasukan polis di sebuah kondominium di Cheras jam 12.05 malam susulan laporan polis yang dibuat mangsa yang memberitahu dia mengalami kerugian selepas terpedaya dengan aktiviti parcel scam.
Mangsa mendakwa ditipu RM1,550 selepas pasangan itu yang menyamar sebagai doktor dari sebuah negara di Eropah memintanya memasukkan sejumlah wang bagi mendapatkan hadiah itu.
Dalam serbuan itu, polis turut merampas beberapa telefon bimbit, sekeping kad ATM, satu kad SIM dan komputer riba yang digunakan untuk aktiviti berkenaan.
0 ulasan:
Catat Ulasan